Tuesday, October 27, 2009

Seni tajamkan minda

Seni tajamkan minda
Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my

ABRAKADOODLE menawarkan program seni kepada kanak-kanak.



Pendidikan kreatif menerusi kegiatan melukis, mewarna bantu perkembangan otak kanak-kanak

ADA ibu bapa berpendapat, membiarkan anak bermain dengan peralatan melukis seperti krayon, berus lukisan atau pensil berwarna tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada si kecil.

Lebih malang lagi, ada yang berkata, memberikan anak sekotak pensil berwarna umpama mengumpan mereka dengan ‘senjata’ kerana selain bimbang mendatangkan bahaya, ia juga boleh mengotorkan dinding atau perabot mahal di ruang kediaman.



Namun, tahukah anda bahawa ada kajian mendapati, pembabitan di dalam aktiviti berkaitan seni sebenarnya banyak mendatangkan manfaat kepada perkembangan otak individu terutama kanak-kanak.

Sebuah pertubuhan sosial dikenali sebagai The Americans for the Arts turut melaporkan, remaja yang melakukan aktiviti berkaitan seni secara konsisten adalah empat kali lebih berpotensi menjadi seorang yang cemerlang dalam bidang akademik.

Bagi ibu bapa yang berhasrat untuk mendedahkan anak kepada seni, penubuhan francais Abrakadoodle Art Studio for Kids-Malaysia, di Putrajaya baru-baru ini mungkin dapat membantu mereka mengasah minda anak melalui medium pembelajaran seni sebagai asas membentuk insan yang cemerlang pada masa depan.


DI Abrakadoodle, ibu bapa berpeluang memahami diri anak melalui aktiviti melukis.



Ketua Pegawai Eksekutif Abrakadoodle, Mary Rogers, berkata asas pengajaran di Abrakadoodle mengandungi 1,200 modul yang menggunakan kaedah unik dan tersendiri bertujuan meningkatkan daya imaginasi kanak-kanak melalui pelbagai medium serta material seni yang berbeza.

“Selain itu, melalui program yang dikenali sebagai The Abrakadoodle Remarkable Art Education Programme ini juga, kami turut bekerjasama dengan Crayola iaitu pengeluar alatan melukis yang selamat serta berkualiti tinggi dan berkongsi matlamat sama iaitu melahirkan kanak-kanak kreatif melalui kaedah yang menyeronokkan.

“Program ini direka bagi membentuk kanak-kanak supaya lebih kreatif ketika berfikir selain mendidik mereka menjadi seorang yang berkeyakinan dan mampu berfikir luar batasan pemikiran. Lebih penting, pendedahan sebegini juga boleh mengubah diri kanak-kanak menjadi seorang penyelesai masalah yang baik, penuh nilai ekspresi, berseni dan bersemangat dalam menjalani kehidupan,” katanya.

Abrakadoodle ditubuhkan pada 2002 adalah studio seni pertama di Amerika Syarikat yang mengetengahkan program pengajian seni peringkat permulaan secara komprehensif kepada kanak-kanak.



Kata Mary, Abrakadoodle ditubuhkan sebagai platform bagi kanak-kanak mencungkil nilai kreativiti semula jadi, imaginasi dan rasa ingin tahu. Tambahnya lagi, keinginan itu selaras dengan kehendak dalam diri setiap insan yang suka kepada kebebasan dan ia dilontarkan ketika aktiviti mewarna, membentuk objek garisan, kotak dan bulatan melalui penggunaan medium yang berbeza.

Menyertai aktiviti seni di Abrakadoodle juga dapat membantu kanak-kanak mendalami kemahiran lain selain teknik artistik antaranya belajar menyelesaikan masalah, memperbaiki kemahiran berfikir, memperkayakan kemahiran berbahasa selain menghargai seni dari perspektif berbeza.

Sementara itu, pengasas dan Presidennya, Rosemaria Hartnett turut melahirkan rasa gembira dengan penubuhan Abrakadoodle di Malaysia.

“Jika selama ini ramai ibu bapa hanya membiarkan anak mereka melukis tanpa mereka sendiri tahu apa yang tersirat di dalam jiwa anak tapi melalui pendekatan yang diketengahkan Abrakadoodle, ibu bapa kini berpeluang memahami diri anak ketika aktiviti melukis.

“Kajian menyarankan waktu paling sesuai untuk anak melakukan aktiviti seni adalah sejak awal usia kerana ia waktu paling sesuai merangsang minda anak supaya menjadi insan cemerlang dalam bidang akademik, mampu menjadi penyelesai masalah yang baik, mempunyai ciri kepimpinan dan keyakinan diri yang tinggi,” katanya.

Pengarah Abrakadoole (M) Sdn Bhd, Michelle Fork berkata, Abrakadoole adalah studio seni yang menyediakan pendekatan berbeza bagi kanak-kanak mempelajari keindahan seni kerana selain menghiburkan, modul yang digunakan juga bersesuaian untuk ibu bapa yang mahu mengasah kreativiti anak sedari kecil.

“Ramai cendekiawan bersetuju dengan kuasa luar biasa yang ada pada seni. Pengarah Sekolah Graduan Seni dan Pendidikan Harvard, Jessica Davis pernah berkata, apabila kita mendidik kanak-kanak dengan seni, kita sebenarnya memberikan mereka kaedah lain untuk berkomunikasi dan memahami dunia mereka,” katanya.

INFO: Kelas seni Abrakadoodle



Ditawarkan kepada kanak-kanak dan remaja berusia 20 bulan sehingga 12 tahun sebagai sebahagian daripada aktiviti ko-kurikulum.


Pelajar belajar mengenal artis, gaya serta media lukisan. Selain itu, mereka juga belajar menerokai imaginasi sewaktu menghasilkan lukisan.


Kelas di Abrakadoodle terbahagi kepada empat iaitu:
- Toddler Art Class
- Twoosy Doodlers (umur 2-3 tahun), Preschool Art Classes
- Mini Doodlers (umur 4-6 tahun), Elementary Art Classes
- Doodlers (umur 7-12 tahun) dan Specialty Art Classes (umur 3-12 tahun).


Abrakadoodle terletak di Jalan Diplomatik 3/1, Presint 15, Putrajaya.


Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-88893882 atau layari www.abrakadoodle.com.my.

No comments:

Post a Comment