Thursday, October 29, 2009

Sentuhan warna RM10 juta

Galeri: Sentuhan warna RM10 juta
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim


YANG di-Pertuan Agong Tuaku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mendengar penerangan Syed Ahmad Jamal (kanan) ketika berkenan melawat Pameran Syed Ahmad Jamal: Pelukis di BSLN, baru-baru ini.



Syed Ahmad Jamal tidak pernah letih berkarya meskipun usia menginjak 80 tahun

PAMERAN Syed Ahmad Jamal: Pelukis membawa peminat seni rupa tanah air menelusuri jalur kehidupan Seniman Negara (SN) menerusi himpunan 300 karya agungnya bermula era 1950-an hingga kini bernilai lebih RM10 juta.

Karya garapan SN dalam bentuk lukisan, catan, poster, arca, tekstil, reka bentuk, kajian-kajian awal, foto bersejarah dan barangan peribadi itu dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Jalan Temerloh off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, sehingga 31 Januari 2010.



Melalui koleksi karya seniman ini dan yang dipinjam daripada semua kolektor, pelopor aliran ekspresionisme abstrak di Malaysia ini, tampak tidak terikat atau bernaung di bawah sesiapa, selain terpancar keunikan dan kebebasan dalam menerokai segala aspek berekspresi.

Nampaknya, biarpun sudah berpuluh tahun melukis, masih tiada tanda yang menunjukkan Syed Ahmad Jamal akan berehat daripada memegang berus kerana beliau baru saja menyahut cabaran negara dengan menyertai Pertandingan Antarabangsa Mural Mekah 2009.

“Saya masih aktif berkarya dan akan ada lagi pameran solo saya pada masa depan. Bagi saya setiap pelukis akan sentiasa meraikan sesuatu situasi dengan melukis kerana inilah cara kami meluahkan perasaan,” katanya pada pertemuan dengan Galeri, pada pelancaran pamerannya, baru-baru ini.


KARYA Senyuman.


Antara karyanya yang paling mahal dan mendapat perhatian khalayak pada pameran ini ialah Semangat Ledang berharga RM150,000 kerana imej Gunung Ledang/ Tanjung Kupang seakan-akan menjadi identiti kepadanya.

Karyanya, M:50 pula menceritakan pencapaian bersejarah sempena kemerdekaan negara ke-51 dengan gambaran landskap yang sarat dengan perlambangan bermula dari kanan ke kiri seperti sedang membaca senaskhah manuskrip Melayu atau Arab.

Perlambangan seperti bentuk tumpal, tanda tanya, huruf 'ain, bendera negeri dan industri yang disusun dengan teliti memberi simbol tertentu dengan maksud sebagai rakaman sejarah serta dokumen visual sepanjang 50 tahun Malaysia.

Pameran ini turut memberi peluang kepada masyarakat melihat dan menghayati karya terbaru pelukis ini, dihasilkan khas untuk Pameran Senyuman dan 99 yang menyatakan betapa beliau menghargai serta bersyukur kerana berpeluang mengadakan pameran di BSLN pada usia 80 tahun.

No comments:

Post a Comment